Khamis, 12 Ogos 2010

tema kemerdekaan 2010


Tema hari kemerdekaan 2010 ialah
1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI.

tahun ini kita menyambut kemerdekaan dalam bulan ramadhan tapi itu bukanlah satu halangan untuk kita menyambut hari kemerdekaan tersebut.

Khamis, 5 Ogos 2010

cara-cara memupuk semangat patriotik khususnya kepada para pelajar.

Sejak kebelakangan ini, banyak diperkatakan tentang pemupukan semula semangat kebangsaan atau nasionalisme dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Gesaan ini memang wajar memandangkan generasi muda khususnya pelajar tidak lagi bersemangat kebangsaan seperti generasi sebelum merdeka. Lebih tepat kalau dikatakan semangat cinta akan negara dalam kalangan generasi muda kini adalah longgar, lemah, dan tidak bermaya seperti seseorang yang tidak makan 10 hari. Pada marcapada yang pesat membangun dalam teknologi maklumat ini, semangat patriotik adalah penting untuk membina jati yang kental dan kuat agar dapat mewujudkan perpaduan nasional.
Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan remaja kini. Pertamanya, mereka hendaklah digalakkan untuk mengenali tokoh-tokoh yang memperjuang untuk kemerdekaan negara dan mereka juga hendaklah didedahkan kepada jasa-jasa serta pengorbanaan pejuang tanah air kita agar golongan remaja kita sedar dan insaf, bak kata pepatah “Tak kenal maka tidak cinta”.Kalau generasi muda tahu akan pahit maung dan susah payahnya tokoh-tokoh pada zaman silam memperjuangkan kemerdekaan negara , tentunya mereka tidak tergamak menghancurkan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi kini dengan tindakan-tindakan negatif.

Pihak sekolah pula hendaklah menanam semangat cinta akan negara dalam diri setiap pelajar dengan mrnyelitkan kecintaan kepada bangsa dan negara dalam setiap subjek seperti , bekerjasama, tolong-menolong, bertoleransi serta berbudi bahasa. Para pendidik hendaklah menggunakan beberapa minit daripada jadual pengajaran sesuatu mata pelajaran untuk menanamkan semangat kecintaan kepada bangsa dan negara. Pendidikan perlu menyuntik semangat juang dan keyakinan diri dalam diri setiap pelajar. Mereka perlu didedahkan dengan semangat “Malaysia Boleh” seperti yang dilakukan oleh Datuk Azhar Mansur dan para pendaki Gunung Everest. Semangat cinta akan negara juga hendaklah dipupuk pada peringkat awal persekolahan lagi.Ibu bapa hendaklah mengasuh anak-anak mereka supaya menghormati keutuhan dan kedaulatan negara.

Selain itu,generasi muda hendaklah digalakkan melawat tempat-tempat bersejarah. Pemerhatian mereka kepada kesan-kesan peninggalan sejarah akan melahirkan semangat juang untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Misalnya, kunjungan ke tempat-tempat yang bersejarah seperti Bandar Hilir, Melaka akan mengingatkan mereka kepada sejarah hitam negara ketika dijajah oleh Portugis,Belanda dan Inggeris.

Di samping itu,golongan muda juga perlu selalu didedahkan kepada Jalur Gemilang yang berkibar megah pada sepanjang masa dan perayaan Hari Kebangsaan setiap tahun itu sepatutnya dijadikan wadah untuk memperbaharui azam mempertahan kemerdekaan pada masa depan. Mereka perlu diberi kesedaran betapa pentingnya erti kemerdekaan terhadap sesebuah negara.

Seterusnya,mereka juga perlu didedahkan kepada lagu-lagu patriotik terutama lagu “Negara ” untuk menyemaikan rasa cinta dan taat kepada negara.Pihak -pihak yang tertentu seperti Persatuan Sejarah Malaysia hendaklah menganjurkan pertandingan menulis esei bertemakan semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan generasi muda. Peraduan seperti ini akan memberi kesempatan kepada golongan muda untuk mengumpulkan bahan-bahan sejarah yang banyak dalam akhbar-akhbar. Pengumpulan bahan-bahan sejarah ini secara tidak langsung akan mencelikkan mereka kepada sejarah perjuangan generasi silam demi kemerdekaan negara daripada belenggu penjajah.

Kesimpulannya, kerajaan hendaklah memupukkan semangat cinta akan negara dalam setiap orang rakyat, khususnya dalam kalangan remaja supaya dapat melahirkan seorang modal insan yang cinta akan negara dan pemimpin yang berwibawa untuk masa yang akan datang.